Hari terakhir dua puluh sepuluh.
Sejuk dan tiada perasaan seperti selalu.
Dingin menyelubungi hati manusia beku.
Ah, tiada kekuatan untuk ukir senyuman seperti selalu.
Jangan ketawa palsu.
Elakkan menipu.
Tahan hati pilu.
Cubit-cubit pipi.
Ketap-ketap gigi.
Urut-urut dahi.
Usap rambut ke tepi.
Sedia, kita senyum nampak gigi.
Bolehkan begini?
Hari terakhir dua puluh sepuluh.
Tahun menolak kematangan diri, tapi tidaklah sampai berpeluh.
Orang lain pula yang mengeluh.
Penat memaksa sampai lenguh?
Ah, jangan jadi bodoh.
Aku tetap kekal dengan gelaran manusia hodoh.
[ gambar : barangkali menunggu bulan turun ke riba ]
Hari terakhir dua puluh sepuluh yang sunyi.
Apa yang aku buat hanya melepaskan tanggungjawab dan melunaskan kewajipan diri.
Aku manusia yang sentiasa mahu suka hati.
Makhluk yang sentiasa mahu gembira bagai air sejuk rasa barli.
Barangkali..
Satu panggilan telefon sempena ulang tahun kelahiran seorang teman diterima. Suara bakal pengamal perubatan itu buat hari yang mendung ada sedikit cahaya cerah. Ah, pasangan bahagia tatkala zaman remaja. Bahagia dalam erti kata sering mengenakan satu sama lain akibat masing-masing degil dan rasa kebencian meluap tidak tentu hala.
Teman : Macam mana hidup?
Aku : Rasa tua bila ada orang sambut hari lahir hari ini.
Teman : Kalau aku lahir esok, kau akan jadi kakak aku dah.
Aku : Nasib baik tak.
Teman : (ketawa) Kau masih macam dulu.
Aku : Macam mana tu?
Teman : Kau masih perempuan yang ketawa riang walaupun suara kau ada tingkah duka.
Aku : (ketawa) Aku gembira.
Teman : Kau pilih orang yang salah untuk menipu.
Aku : (ketawa) Bahkan kau sedang tipu diri kau sendiri.
Teman : Ah, perempuan ini memang tak matang dari dulu.
Aku : Manusia yang menolak kematangan diri, adalah aku.
Teman : Kenapa?
Aku : Apa itu matang sebenarnya?
Teman : Meningkat dewasa secara logiknya, dari pelbagai aspek.
Aku : Aku mungkin matang dari beberapa segi tapi kematangan itu biarlah tidak kelihatan.
Teman : Kenapa?
Aku : Biar disedari, bukan dibuat-buat.
Teman : Faham.
Aku : (ketawa) Aku tidak akan matang depan kawan-kawan.
Teman : Depan kekasih hati?
Aku : (ketawa) Entah.
[ gambar : Gulungan hidup dua puluh sepuluh - sekeping hati sudah melayang pergi ]
Entah bagaimana, sekeping hati yang penuh calar dan luka tiba-tiba menjadi hak milik si dia,Encik Arnab yang selalu suruh diri tersenyum suka. Tidak perlu meluahkan ataupun meminta menjadi pasangan, masing-masing menyedari kewujudan diri masing-masing adalah suatu bentuk keperluan setiap hari dan berjanji mahu berusaha mengikat hubungan sah sampai mati. Segala yang perlu dilakukan sudah dilaksanakan sedikit demi sedikit, moga akan ada sinar kebahagiaan selepas ini.
[ gambar : selamat tinggal 2010 , dan selamat datang 2011 yang belom pasti
menjanjikan apa-apa sebagai jaminan ]
Aku : Kau boleh tolong aku?
Teman : Tolong apakah?
Aku : Gayat. Aku sedang tergantung di hujung.
Teman : Hujung apakah? Kau di mana ni? Atas gunung ke?
Aku : Tak, di rumah.
Teman : Habis tu tergantung di hujung apakah?
Aku : Hujung 2010 (ketawa)
Teman : Keji.
Itu sahaja.
Moga kalian juga punya tahun dua puluh sepuluh yang bermakna bersama aku ya?
Senyum.
aku : Melalui saat yang menggembirakan dan sukar dalam hidup menjadikan aku lebih kepada siapa aku hari ini. Gelak ketawa, cemuhan, makian dan kata nista sudah aku tidak ambil peduli. Senyum. Aku masih ada mereka yang mengasihi dengan sejujur dan sepenuh hati.
No comments:
Post a Comment