[ gambar : ketika semua para anak-anak yatim melakukan latihan nasyid sebelom terjadinya tanah runtuh ]
Seramai 24 orang terdiri daripada anak yatim, warden dan kakitangan  Rumah Anak-anak Yatim dan Anak-anak Hidayah Madrasah Al-Taqwa tertimbus  dalam kejadian tanah runtuh di Hulu Langat hari ini.Menurut laporan Bernama,  setakat 8 malam ini, lima mayat kanak-kanak berusia 11 dan 14 tahun  dikeluarkan dari runtuhan itu manakala sembilan lagi ditemui cedera  termasuk seorang lelaki dewasa berusia 22 tahun, kata polis.
 [ gambar : mangsa anak-anak yatim itu di angkut oleh orang ramai untuk dibawa ke hospital ]
Penghuni yang cedera berusia antara 11 dan 17 tahun manakala lelaki dewasa itu dipercayai pekerja di rumah anak yatim berkenaan.Semua  yang cedera dihantar ke Hospital Kajang untuk rawatan dan setakat ini  keadaan mereka tidak diketahui, kata Ketua Polis Selangor Datuk Tun  Hisan Tun Hamzah pada sidang akhbar di Kuala Lumpur hari ini.Beliau  berkata rumah anak yatim yang terletak berhampiran bukit itu  menempatkan 49 orang termasuk penghuni termasuk lima penjaga. Semua  penghuni rumah itu adalah lelaki.
Ketika kejadian pada pukul 2.30 petang semua penghuni rumah anak yatim  itu berada dalam sebuah khemah yang dipasang untuk persiapan satu majlis  yang dijadual pada pukul 5 petang ini.Runtuhan  tanah dari bukit itu dikatakan menimbus keseluruhan khemah itu yang  terletak di luar rumah anak yatim itu, yang terletak di lereng bukit  itu.Turut terkena runtuhan tanah itu ialah sebuah surau.
[ gambar : jentera berat sedang mencarik mangsa yang masih terimbus ]
"Kami difahamkan berlaku dua kali tanah runtuh secara serentak dalam sekelip mata. Semua mereka yang berada dalam dewan itu tidak sempat menyelamatkan diri," kata Tun Hisan pada sidang akhbar di tempat kejadian.Beliau berkata polis akan menyiasat punca kejadian.
Beliau berkata pasukan mencari dan menyelamat yang terdiri  daripada Pasukan Bomba dan Penyelamat, polis dan Jabatan Pertahanan Awam  Malaysia (JPAM) mengeluarkan mayat pertama pada pukul 4.30 petang,  diikuti mayat kedua setengah jam kemudian dan mayat ketiga dikeluarkan  pada pukul 6.10 petang.
Penolong Pesuruhjaya Bomba  dan Penyelamat Putrajaya Morni Mamat berkata sehingga 8.20 malam ini  operasi mencari dan menyelamat diteruskan dalam keadaan hujan lebat.Sementara itu, TV Selangor  melaporkan Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim menerusi laman  twitternya berkata pihaknya mengarahkan Misi Bantuan Kemanusiaan  Selangor, Yayasan Amal dan Briged Amal ke tempat kejadian untuk memberi  bantuan segera.Khalid juga berkata kerajaan negeri akan menyediakan tabung bantuan mangsa dengan kadar segera.Ahli  exco kerajaan negeri Selangor Rodziah Ismail yang berada di tempat  kejadian memberitahu bahawa kerajaan negeri akan memberi segala bantuan  yang diperlukan.
p/s : Setiap kali mengacarakan Assalamualaikum, saya akan cuba menyelami setiap isu yang  dibincangkan. Hari ini isu fokus ialah pada tragedi tanah runtuh  Madrasah at-Taqwa di Hulu Langat yang meragut nyawa ramai anak-anak  yatim. Sebak rasa di hati sukar dikawal apatah lagi bila melihat  wajah-wajah mereka ini sebelum kejadian ketika selesai membuat latihan  persembahan nasyid. Ya Allah, tempatkanlah mereka bersama para solihin.  al-Fatihah..
 


 
No comments:
Post a Comment